Bekerja dan mengumpul harta dengan cara halal bukanlah suatu hal yang tercela dalam agama. Ada sebahagian orang melakukan berbagai perbuatan dengan anggapan bahawa perbuatan tersebut termasuk dalam kategori zuhud. Padahal hanya merupakan tipu daya Iblis.

Al-Imam Al-Laits bin Sa’ad rahimahullah, dia merupakan seorang tokoh fiqh yang popular, hidup pada kurun ke-2 hijrah, kaya dan memiliki rumah besar. Orang datang kepadanya dan berkata, “wahai imam, mengapa engkau membuat rumah besar, tidakkah engkau zuhud kepada ALLAH SWT?” Dia menjawab, “Adakah engkau hendak mengharamkan apa yang telah ALLAH halalkan untuk aku?”

Nabi Sulaiman dan Daud a.s adalah orang yang paling kaya, namun juga paling zuhud daripada orang-orang yang hidup pada zamannya. Kedua-duanya mempunyai harta, kekuasaan dan perempuan. Nabi Muhammad SAW adalah orang paling zuhud daripada seluruh manusia secara mutlak. Beliau mempunyai sembilan isteri.

Demikian juga para sahabat Ali bin Abu Thalib, Abdurrahman bin Auf, Az-Zubair dan Utsman adalah orang-orang yang zuhud sekalipun mempunyai harta melimpah.

Oleh itu, tidak kira jika pemimpin pembangkang hendak naik bas mewah, atau pemimpin kerajaan hendak naik jet mewah, jika mereka ada kemampuan. Oleh sebab itu kita jangan mudah mencela orang lain, kelak orang akan mencela kita.

Jika ada kemampuan, ada wang ringgit, Islam tidak melarang, asalkan jangan membawa kepada pembaziran, asalkan tuntutan ke atas orang berkemampuan seperti zakat dan bersedekah itu ditunaikan.

Hendak pakai jam mahal, Omega atau apa sahaja, terpulang dan tidak ada masalah jika benar-benar ada kemampuan dan wang ringgit yang mencukupi.

Sebab itu kita perlu muhasabah, jangan mudah mencela orang lain, mencela ‘orang itu bermewah’, ‘menaiki pesawat mewah’, kerana mungkin nanti kita pun naik jet mewah, tengok-tengok kita pun naik bas mewah. Sebenarnya ini adalah sikap ‘asabiyah’, apabila kita buat salah kita diam dan sunyi sepi. Akan tetapi apabila orang lain buat salah, kita bongkarkan habis-habisan.

Janganlah kita bersikap tajassus yakni mencari-cari kesalahan. Umar al-Khattab pernah melalui sebuah rumah, dia terlihat lelaki dan perempuan bukan mahram di dalam satu rumah. Dia nampak dengan matanya sendiri.

Tetapi dia tidak pergi ke rumah itu kerana dia teringat firman ALLAH, “Dan jangan bersikap jasus (mematai/mencari kesalahan orang).” (Surah Al-Hujurat, 49: 12)

Memang menjadi ahli politik dan bergelar YB fitrahnya orang mencari-cari kesilapan. Jadi kita yang tahu tentang Islam, jangan buat kerja seperti ini, jangan meneropong cari kesilapan orang.

Kita manusia, YB pun manusia, kita makan budu, YB pun makan budu. Kita ada nafsu, YB pun ada nafsu. Mengapa kita boleh kahwin tiga, akan tetapi jika yang melakukan ini YB ia dipandang serong?.

Salah kalau kita memahami erti zuhud adalah semua orang rumahnya mesti buruk. Imam Muslim, pakar hadis, dia mengajar hadis dan dalam masa sama dia merupakan peniaga kain yang kaya. Apabila dia mengajar hadis, dia memakai pakaian cantik. Orang tidak mencela kerana orang memahami kedudukan dan kemampuannya.

Abdurrahman bin Auf boleh dikatakan seorang bilionair, orang paling kaya, Nabi berkata kepadanya, “Sembelihlah walau seekor kambing” untuk walimah. Saya tertarik dengan ulasan Syaikh Muhammad bin Shalih Al-Utsaimin rahimahullah ketika mengulas hadis ini.

Beliau mengatakan sebenarnya ini menggambarkan orang kaya pada ketika itu memadai dengan menyembelih seekor kambing untuk kenduri. Tetapi bagi orang miskin, orang yang tidak mampu, bergantung pada kemampuannya. Kuih akok pun sudah cukup.

Jadi saya kira isu seperti ini tidak perlu timbul. Yang penting adalah sikap kita yang mencari-cari kesilapan dan kesalahan orang. Kita kena berhati-hati, dibimbangi kita terjatuh dalam golongan nammam (pengadu domba), sabda Nabi SAW, “Tidak akan masuk syurga pengadu domba.” (Riwayat Muslim)

Jadi kita perlu berhati-hati agar kita tidak tergolong di dalam golongan yang disebut sebagai pengadu domba. Sesiapa yang berkemampuan, maka terpulanglah. Jangan menuduh orang lain bermewah-mewah sedangkan kita juga turut bermewah-mewah.

Sama-sama kita bermuhasabah. Yang penting kita melihat apa peranan dan tugas kita yang perlu kita laksanakan kepada masyarakat di luar sana.