Friday, June 14, 2013

BLOG Tidak Perlukan LESEN : Najib Razak

Penulis Internet mesti bertanggungjawab

by Patricia Gari. Posted on June 14, 2013, Friday

KUCHING: Tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak melesenkan portal berita Internet di negara ini tidak bermakna penulis blog boleh menulis dengan sewenang-wenangnya dalam media sosial.

Presiden Persatuan Media Sosial Sarawak (PMSS) Wan Abdillah Edruce berkata, sebaliknya penulis blog atau pemilik media sosial mesti beretika dan bertanggungjawab terhadap apa jua bentuk maklumat disebarkan dalam Internet dengan memastikannya adalah berasaskan fakta sahih bukannya berbentuk spekulasi atau berbaur provokasi.

“PMSS amat bersetuju dengan tindakan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) tidak melesenkan portal berita Internet tetapi memperketatkan undang-undang sedia ada.

“Kalau hendak dilesenkan bermakna kerajaan menyekat kebebasan bersuara dan jika hendak menyekat sepenuhnya penggunaan media sosial memang susah kerana ia juga mempunyai impak positif khususnya dalam berkomunikasi,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau menambah, dengan memperketatkan undang-undang sedia ada, pihak yang menyalahgunakan media sosial boleh dikenal pasti sekiranya tindakan perlu diambil ke atas seseorang penulis atau pemilik laman sosial tersebut.

Katanya lagi, ketika ini wujud kes penulis atau pemilik blog tidak menggunakan identiti sebenar mereka, justeru cara atau kaedah perlu ada untuk mengenal pasti mereka menerusi ‘ketetapan-sendiri.’

“Kalau nak menyekat sepenuhnya penggunaan media sosial adalah mustahil kerana ia juga mempunyai kesan positif terutama dalam berkomunikasi, misalnya sekarang kita boleh berkomunikasi dengan Perdana Menteri menerusi Facebook (FB) dan Twitter.

“Namun, ia harus diikuti dengan penguatkuasaan undang-undang yang ketat dan mengambil tindakan tegas terhadap individu menulis dalam apa jua platform media sosial untuk menghasut atau membangkitkan sensitiviti pihak-pihak tertentu,” ujarnya.

Wan Abdillah juga percaya dengan memperketatkan lagi undang-undang sedia ada sekurang-kurangnya penulis akan mengehadkan penulisan mereka.

Menurut beliau, hakikatnya apabila sudah memiliki media sosial masing-masing mahu menjadi penulis tetapi tidak menyedari bahawa mereka tertakluk di bawah Akta Penerbitan.

“Semua mahu menjadi penulis tetapi tidak sedar mereka sebenarnya tertakluk di bawah Akta Penerbitan negara apabila apa yang ditulis untuk dibaca oleh umum. Ini yang mereka (penulis blog) lupa.

“Memarahi pihak lain, akhirnya di saman oleh individu yang diaib atau dimarahi dalam laman sosial. Siapa yang susah?” katanya.

Beliau turut menasihati pembaca agar perlu membaca setiap yang disiarkan dalam portal berita Internet atau laman sosial lain dengan bijak bukannya terus menerima atau mengiyakan segala yang ditulis di Internet.

“Pembaca seharusnya ada akal fikiran, mencerna setiap fakta yang disiarkan dalam Internet kerana apa yang ditulis dalam laman sosial dan blog lebih banyak berbentuk spekulasi serta provokasi.

“Kalau ada fakta yang meragui dapatkan penjelasan daripada agensi bertanggungjawab misalnya Jabatan Penerangan. Masalah pemilik akaun FB hanya suka ‘Share’ (berkongsi) maklumat, manakala pengguna Twitter ‘Repeat’ (mengulang) maklumat tanpa berfikir panjang sama ada ia benar atau sebaliknya,” kata Wan Abdillah lagi.

Sementara itu, bekas penulis blog Sarawak Abdul Hakim Bujang juga berkata undang-undang sedia ada negara sudah memadai bagi menangani masalah penyalahgunaan laman sosial tetapi ia harus diperketatkan.

Selain itu, katanya, kerajaan harus bertindak adil apabila mengambil tindakan terhadap penulis blog yang menyebarkan maklumat tidak sahih dan fitnah tanpa mengira sama ada mereka dari Barisan Nasional (BN) atau pembangkang.

“Dalam hal ini kerajaan mesti tegas dan adil, siapa yang membangkitkan isu agama atau sensitiviti kaum lain, ambil tindakan ke atas invididu tersebut sebagai pengajaran kepada yang lain dan menghapuskan tanggapan ‘tidak apa’,” ujarnya.

Kelmarin Najib berkata kerajaan tidak akan melesenkan portal berita Internet seperti dilakukan Singapura 1 Jun lalu, bagaimanapun beliau menegaskan kerajaan tetap akan menguatkuasakan undang-undang sedia ada bagi mencegah perbuatan tidak bertanggungjawab pihak-pihak tertentu.


Pihak yang beliau maksudkan ialah penulis blog dan pemilik akaun FB yang menyebarkan maklumat tidak pernah serta fitnah untuk menjejaskan keharmonian nasional.
“Mana-mana pihak yang cuba menanam perpecahan menggunakan elemen bangsa, agama, bahasa atau cuba memperkecilkan institusi Raja Berperlembagaan mahupun cuba subvert (menjatuhkan) sistem demokrasi berparlimen akan diambil tindakan sesuai dengan peruntukan undang-undang,” tegas beliau.

Sumber / Asal : The Borneo Post Online

1 comment:

Terima Kasih Kerana SUDI Singgah di www.suarapemikir.com
Kami Amat Menghargainya.
Thanks