Saturday, April 20, 2013

KEJUTAN Awal PRU 13 Di Dua Kawasan

Pengumuman Kamilia jadi calon bebas beri kejutan besar

20 April 2013
Kamilia bertanding kerusi Parlimen Kuala Kangsar sebagai calon Bebas. Beliau dipecat dari Umno secara automatik hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Pengumuman Naib Ketua Wanita Umno Datuk Kamilia Ibrahim bertanding tiket Bebas di Parlimen Kuala Kangsar memberikan kejutan besar pada hari penamaan calon Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Ekoran tindakannya itu, beliau dipecat daripada parti.

Satu lagi kejutan dilaporkan di Kelantan apabila Che Johan Che Pa yang sepatutnya menjadi calon Barisan Nasional bagi kerusi Parlimen Pasir Mas, tidak menyerahkan borang pencalonannya di pusat penamaan calon.

Tindakan Che Johan itu turut dikaitkan dengan spekulasi kononnya bagi memberi laluan kepada penyandang kerusi itu Datuk Ibrahim Ali bertanding tiket Bebas bertemu dengan calon PAS, Nik Mohamed Abduh, anak Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Tidak bertanding tetapi bekas Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat juga membuat kejutan.Ini disebabkan sebelum ini, beliau membayangkan kemungkinan bertanding atas tiket Bebas dalam mempertahankan kerusi Parlimen Pandan yang dipegang selama dua penggal.

Kejutan lain termasuk penyanyi dangdut era 80-an, Herman Tino bertanding sebagai calon Bebas di Parlimen Tanjong Karang dan rakan seangkatannya, Dayangku Intan, menjadi calon PKR di Parlimen Pengerang menentang bekas menteri kabinet Datuk Seri Azalina Othman (BN) dan Mohd Azaman Johari (Bebas). - Bernama

1 comment:

Terima Kasih Kerana SUDI Singgah di www.suarapemikir.com
Kami Amat Menghargainya.
Thanks