
Semenjak dua hari lepas, kami di Wanista dikejutkan dengan berita tentang penipuan wang dan emosi yang dilakukan oleh seorang yang bergelar ustaz. Razis bin Ismail, khabarnya seorang graduan dari Azhar As-syarif, dikatakan telah berkahwin lebih dari 4 kali; ada yang kata 9, ada yang kata 10, malahan angka terbaru adalah 11 kali. Tetapi bukan setakat itu saja penipuan yang beliau lakukan, malahan ada yang melibatkan duit.
Terbongkarnya rahsia ini adalah apabila isteri beliau yang entah isteri keberapa, membuat satu akaun Facebook atas nama beliau untuk mengetahui apa lagi penipuan yang suami beliau telah lakukan. Dan dia juga ingin tahu, berapa orangkah wanita yang Ustaz Razis ini telah kahwini, dan tinggalkan begitu saja. Katanya, mengikut ajaran Syiah. Tapi kalau ikut ajaran Syiah, mengapa sebelum berkahwin dengan wanita-wanita itu, dia menipu mengatakan bahawa dia seorang yang bujang? Ustaz Razis nampaknya sangat arif dalam selok-belok pendaftaran perkahwinan di Malaysia, dia tahu yang pendaftaran perkahwinan biasanya dibuat secara manual; bukan secara berkomputer. Jadi agak payah untuk kadi atau tukang kahwin tahu jika dia benar-benar bujang ataupun telah beberapa kali berkahwin. Namun ada juga sumber yang mengatakan ustaz Razis kahwin secara sindiket.